Friday 13 September 2013

BERITA DUNIA

Mengandung kokain



Wanita Kanada 'hamil' ditahan cuba seludup dua kilogram dadah 

Bogota: Seorang wanita warga Kanada ditahan polis Colombia semalam selepas cuba menyeludup dua kilogram kokain dengan menyamar sebagai pelancong yang sedang hamil. 
Timbalan pengarah bahagian antidadah polis Colombia, Kolonel Esteban Arias Melo, berkata Tabitha Leah Ritchie, 28, ditahan ketika cuba menaiki penerbangan ke Toronto dengan memakai ‘perut getah’ yang disumbat kokain di dalamnya. 


Wanita terbabit, menarik perhatian seorang anggota polis wanita apabila bersikap mencurigakan selepas ditanya tempoh kehamilannya. 

“Dia menunjukkan reaksi agresif dan tidak suka dengan soalan itu, tetapi bertegas mengatakan dia hamil tujuh bulan. Sikapnya menyebabkan anggota polis berkenaan mengesyaki sesuatu dan kemudian memeriksa wanita itu. 

Bungkusan kokain 

“Polis wanita itu kemudian menyentuh perut Ritchie dan mendapati ia sangat keras dan terlalu sejuk. Selepas pemeriksaan tubuh dijalankan, beliau menemui dua bungkusan disumbat di dalam perut getah mengandungi kokain setiap satu beratnya kira-kira dua kilogram,” kata Melo. 
Ritchie tiba di Colombia 6 Ogos lalu dan mengaku dia seorang pekerja sosial.

Melo berkata, dadah dibawa Ritchie mempunyai pasaran kira-kira AS$60,000 (RM196,668). Ritchie berdepan hukuman lima hingga lapan tahun penjara jika sabit kesalahan. - AP/AGENSI

No comments: