Friday 13 September 2013

KWSP pembeli utama di Bursa Malaysia

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) muncul sebagai pembeli utama di Bursa Malaysia semasa berlakunya penurunan dalam pasaran saham tempatan baru-baru ini selepas pelabur asing mengurangkan pegangan mereka. 

Timbalan Ketua Eksekutif KWSP bagi pelaburan, Mohamad Nasir Ab Latif, berkata pengurus dana pencen keenam terbesar dunia dengan aset berjumlah lebih daripada AS$170 bilion (RM556.9 bilion) itu hanya membeli saham yang ‘berkualiti’ dan ‘memiliki asas yang kukuh’.

Raih pulangan 
“Sebagai pelabur terbesar di Malaysia, KWSP melihat sebarang ketidaktentuan keterlaluan yang berlaku dalam pasaran sebagai peluang bagi mengimbangi semula portfolio dalam meraih pulangan berterusan selain pada masa sama mempelbagai risiko. 

“Kami percaya, Malaysia berada dalam kedudukan lebih kukuh di masa hadapan. Kami menjangkakan minat pelabur akan kembali semula ke rantau ini, khususnya dalam (pasaran) negara baru membangun,” katanya dalam satu maklum balas e-mel semalam. 

Indeks Komposit FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI), jatuh 6.8 peratus pada 28 Ogos lalu daripada paras rekod tertinggi yang dicatatkannya pada 24 Julai lalu, sebelum melantun semula dengan mencatatkan peningkatan sebanyak 5.1 peratus. 

Kedua terbesar 
Pengurus dana persaraan kedua terbesar Malaysia, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Kumpulan Dana Persaraan Kerajaan Thailand dan pengurus skim persaraan Indonesia, PT Jamsostek, turut menyatakan membuat pembelian saham dalam pasaran tempatan masing-masing semasa berlakunya penurunan dalam pasaran saham serantau baru-baru ini ekoran daripada kebimbangan bahawa Rizab Persekutuan Amerika Syarikat akan mengurangkan program rangsangan kewangannya ke atas ekonomi negara itu. 

Secara terkumpulnya, keempat-empat pengurus dana berkenaan memiliki aset berjumlah AS$229 bilion (RM750.2 bilion). 

Menurut data yang dikumpul Bloomberg, pada 28 Ogos lalu, indeks KLCI didagangkan pada tahap 14.9 kali daripada jumlah pendapatan bagi tempoh anggaran selama 12 bulan akan datang. 

Ia adalah paras terendah yang pernah dicatatkan penanda aras itu sejak April, dan hari ini ia dinilaikan pada tahap 16.7 kali. 

Menurut perangkaan Bursa Malaysia, dana asing dilaporkan menjual sebanyak RM6.8 bilion (AS$2.1 bilion) pada Ogos lalu. - Bloomberg

No comments: